Sunday, October 30, 2011

Perbandingan Sedekah menurut Al-Quran

"Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji.

Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya".

( AlBaqarah : 261 )

DIPANJANGKAN UMUR & MENCEGAH AJAL YANG BURUK

Maksud sabda Rasulullah saw : "Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya"
( H.R. Tabrani )

MENOLAK BALA BENCANA

Maksud sabda Nabi saw : "Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah"
( H.R Al-Baihaqi )

SELAGI PELUANG MASIH ADA

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ?

Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata :

Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi
untuk si anu
( H.R Al-Bukhari )

Huraian Sedekah

Sedekah berasal dari kata shadaqa yang bererti benar. Orang yang suka bersedekah adalah orang yang benar pengakuan imannya. Menurut terminologi syariat, pengertian sedekah sama dengan pengertian infaq iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam.

Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas daripada infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan material, manakala sedekah merangkumi material dan non-material.

Walaupun kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah bahawa, jika seseorang itu telah berzakat tetapi masih mempunyai kelebihan harta, sangat dianjurkan untuk berinfaq dan bersedekah.

Selain daripada sedekah wajib, umat Islam digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda kesyukuran akan nikmat yang dikurniakan Allah terutamanya nikmat Islam.

Sunday, October 9, 2011

Fadilat bersedekah


Apakah fadilat bersedekah?

Sedekah ini fadilat utamanya ada tiga iaitu rezeki murah, dapat menolak bala dan panjang umur.

Sebabnya, apabila kita bersedekah, penerimanya akan mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda penghargaan kepada Allah dan juga kepada manusia yang memberikan sumbangan.

Ini juga dijelaskan dalam hadis yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani.”

Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain.

Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...